Sebelum Mahu Marah



“Ah, celaka kau….” Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, satu penumbuk dilepaskan tepat mengena mukanya.

Dia mengerang kesakitan dan saya berasa lega sebentar. Itulah kali pertama saya bergaduh dan kali pertama melepaskan marah dengan cara begitu. Pelajar-pelajar yang berkerumun sudah beransur-ansur pergi ke kelas masing-masing.

Sebetulnya saya merupakan pelajar yang baru masuk ke sekolah tersebut. Kerana tradisi sekolah yang pelik(pelajar baru tidak boleh masuk kelas pertama), saya terpaksa masuk ke kelas second last.

Sememangnya dia adalah ‘kepala’ bagi pelajar bermasalah kelas sebelah. Pergaduhan ini berpunca kerana perkara kecil, kerana dia mengutuk-ngutuk. Pada mulanya dia hanya mengejek-ejek saya, dan saya boleh bergelak tawa sahaja dengan ejekannya itu.

Tetapi bila dia mula mengejek-ejek seorang kawan saya dengan ejekan yang melampau, saya mula berasa tidak senang. Lebih-lebih lagi bila melihat kawan saya itu hampir menangis. Lantas, sebaik habis perhimpunan pagi itu, saya menarik dia masuk ke kelas darjah lima dan pergaduhan di atas berlaku.

Kalau saya marah, saya bakal dimarahi

Sebenarnya saya tidak pandai hendak marah. Sejak dari kecil, setiap kali saya mula meninggikan suara kepada adik-adik saya, pasti saya dimarahi oleh emak dan abah walaupun kesalahan itu memang dilakukan mereka.

Dari situ saya belajar satu perkara, kalau kita marah orang lain bersiap-siaplah diri kita juga akan dimarahi oleh orang lain. Mungkin bukan oleh orang dimarahi kita, tetapi orang sekeliling yang melihat atau mengetahui tentang kita marah.

Kalau kita dimarahi orang lain, apa yang kita rasa? Erm. Kadang mungkin ada sedikit benci sekejap, mungkin ada rasa hendak marah kembali, mungkin berdendam selama beberapa hari dan apa-apa jualah kemungkinan lain.

Secara senangnya fikirlah sebelum kita hendak menzahirkan rasa marah kepada orang lain. Kalau tidak perlu untuk marah, cuba simpan dahulu dan fikirkan cara lain untuk mengatasinya.

2 tahap lain sebelum marah

Teringat saya akan nasihat seorang ustazah saya semasa saya sekolah rendah dahulu. Dia pernah mengatakan tentang ada dua tahap lain sebelum kita boleh marah orang lain.

Pertama sekali sebelum kita boleh marah orang lain, kita perlu sabar. Jadi jika orang itu buat kita marah, kita perlu sabar dan teliti dahulu kenapa orang itu berbuat itu dan ini terhadap kita. Mungkin dia ada masalah lain atau mungkin… apa-apa sahajalah kemungkinan lain.

Keduanya kalau dia masih melakukan perkara yang sama sampai membuatkan kita marah, bagi amaran terlebih dahulu. Bagi saya inilah yang paling penting sebelum kita hendak marah. Kita tanya balik diri kita, ‘pernahkah aku memberi amaran kepada dia supaya jangan buat perkara itu dan ini?’

Kadang-kadang orang itu mungkin hanya fikirkan perkara itu sebagai gurauan. Tetapi mungkin dia tidak tahu yang gurauan itu menyakitkan hati kita. Jadi, kita beritahu dia terlebih dahulu, beri amaran jangan melakukan gurauan yang sama lagi.

Selepas dua tahap ini berlalu, terpulang kepada kita untuk marah dia ataupun tidak.

Belajar daripada Nabi Muhammad

Salah satu contoh cara berdakwah paling efektif adalah dengan menahan rasa marah. Seorang pengemis Yahudi buta selalu mengejek-ejek Nabi Muhammad di satu sudut kawasan di dalam pasar.

Tetapi apa yang Nabi Muhammad buat, setiap hari Nabi Muhammad pergi kepada pengemis Yahudi buta tersebut dan menyuapkannya makanan. Sedikit demi sedikit. Sambil Nabi Muhammad menyuapkan makanan itu sambil si pengemis Yahudi itu berpesan kepadanya, “Wahai anak muda, jangan kau ikut ajaran baru si Muhammad itu! Sesat.”

Kalaulah saya yang menyuapkan makanan ketika itu, mahu sahaja saya pergi dari situ. Tetapi Nabi Muhammad terus sahaja menyuapkan makanan tanpa menunjukkan apa jua rasa marah.

Sampaikan selepas kewafatan Nabi Muhammad, seorang sahabat beliau cuba untuk menyuapkan makanan kepada pengemis Yahudi itu. Satu ayat yang terkeluar daripada mulut pengemis Yahudi itu betul-betul buat saya kagum, “Engkau bukan orang yang selalu menyuapkan aku makanan. Orang yang selalu menyuapkan aku itu suapannya begitu lembut dan penuh dengan rasa sayang.”

Sebaik sahaja sahabat itu memberitahu pengemis Yahudi buta itu bahawa Nabi Muhammadlah yang menyuapkannya dahulu, terus sahaja menangis pengemis Yahudi itu. Saat itu juga dia terus memeluk agama Islam.

Hendak memiliki kesabaran seperti Nabi Muhammad itu memanglah sesuatu yang susah.. Saya juga tidak dapat memilikinya. Tetapi marilah kita bersama berusaha mendapatkannya.

Marah tidak salah asalkan bertempat. Cuma kalau marah-marah itu yang saya rasa memang tidak patut. Marah-marah adalah marah yang terburu-buru. Ingatlah setiap apa yang anda lakukan, itulah cerminan diri seorang muslim. Orang luar akan memandang dan menilainya.

Tentang peristiwa saya bertumbuk itu, pulang sahaja saya ke kelas tanpa disedari saya menangis. Sampai ada seorang kawan saya bertanya, “Eh, kau yang tumbuk dia, kenapa kau pula yang menangis?”

Sememangnya saya tidak berani hendak marah orang.

http://studiomuslim.com/

0 ulasan:

Template by : kendhin x-template.blogspot.com